Penerangan
19 April 2023, JOHOR BAHRU- Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah menggerakkan Ops Gempur sempena menjelangnya musim perayaan Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi di semua daerah di Negeri ini termasuk Johor Bahru, Kulai, Pontian, Mersing, Kluang, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Ledang, Segamat dan Kota Tinggi dalam usaha mengekang berlakunya masalah pencemaran yang boleh menjejaskan sumber bekalan air kepada pengguna.
Sebanyak 159 pemeriksaan telah dijalankan terhadap premis-premis yang dikenalpasti sepanjang tempoh operasi ini yang bermula pada 3 April 2023 melibatkan keanggotaan seramai 52 orang penguatkuasa Jabatan ini termasuk juga daripada JAS Cawangan Batu Pahat, JAS Cawangan Pengerang, JAS Cawangan Pasir Gudang, JAS Cawangan Kluang dan JAS Cawangan Muar. Dalam tempoh tersebut sebanyak sebelas (11) premis telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) atas kesalahan serius dan tidak dibenarkan beroperasi sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Selain itu, sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka berdasarkan pemeriksaan-pemeriksaan untuk tindakan selanjutnya.