Penerangan
KUALA TERENGGANU: Sebuah Kilang Kelapa Sawit di denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini hari ini kerana telah melepaskan efluen dengan kandungannya melebihi had-had yang ditentukan di bawah Syarat Jadual Pematuhan lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127).
Berdasarkan pertuduhan, Kilang Kelapa Sawit yang beroperasi di daerah Dungun ini, didapati telah melepaskan effluen dengan kepekatan Oksigen Biokimia yang diperlukan (BOD), 3 hari, 30oC yang mempunyai kepekatan sebanyak 234 mg/l dimana 134 mg/l melebihi had yang ditetapkan iaitu 100 mg/l.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa yang dilantik oleh JAS negeri.
Dalam pada itu, Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd. Rahman dalam kenyataan di sini hari ini berkata, dibawah Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, memperuntukkan “ pemegang sesuatu lesen hendaklah mematuhi had-had dan syarat-syarat lesen itu dalam tiap-tiap hal” katanya.