Penerangan
SYARIKAT KITAR SEMULA DIDENDA RM12,000 BEROPERASI TANPA LESEN
KUALA TERENGGANU : Sebuah syarikat kitar semula didenda RM12,000 atas kesalahan menjalankan aktiviti pemerolehan kembali separa bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) tanpa lesen dan gagal mematuhi Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekliling 1974.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Ramli Abd. Rahman berkata, denda itu diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini selepas syarikat itu didapati bersalah atas pertuduhan menjalankan aktiviti memproses iaitu menceraikan dan meleraikan komponen-komponen elektrik dan elektronik daripada E-waste di bawah Kod SW110, Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 tanpa Lesen.
Hakim Puan Nazlyza binti Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman itu selepas wakil syarikat tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa JAS Negeri Terengganu.