Penerangan
OPERASI MENCEGAH PEMBAKARAN TERBUKA DITINGKATKAN
KUALA TERENGGANU : Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Ramli Abd. Rahman menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada masa kini susulan kenyataan media oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa negara kini sedang memasuki fasa peralihan monsun yang menyebabkan negeri-negeri di semenanjung Malaysia mengalami cuaca kering.
Justeru itu, bagi menghadapi keadaan ini, JAS Terengganu telah meningkatkan aktiviti pemantauan dan menggerakkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di peringkat negeri Terengganu berkuatkuasa sejak 29 Mac lalu.
Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah meningkatkan aktiviti rondaan darat dan penggunaan dron bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan terutama di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti mudah terbakar (fire prone areas) seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.
Surat arahan juga telah dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang bertanggungjawab ke atas tapak pelupusan sampah dan kepada pemilik ladang supaya mengambil langkah pencegahan dan sentiasa mengawal rapi serta memastikan kawasan seliaan masing-masing tidak terbakar bagi mengelakkan kejadian jerebu setempat di kawasan masing-masing.
Kempen-kempen kesedaran melalui media massa dan elektronik juga telah dibuat bagi mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara terutamanya pembakaran terbuka.
Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada sesiapa sahaja yang menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis.
Kegagalan mematuhi seksyen tersebut boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu rinngit atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Tambah beliau lagi.
Sepanjang tahun 2022 sebanyak 103 aduan pembakaran terbuka telah direkodkan. Pada tahun ini, sehingga Mac 2023 sebanyak 50 aduan pembakaran terbuka telah diterima. Tambah beliau lagi.
#Kementeriansumberaslialamsekitardanperubahaniklim
#jabatanalamsekitar
#jasterengganu
#alamsekitartanggungjawabbersama