Penerangan
1 April 2023, Kota Bharu - Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan telah menjalankan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka di sekitar Jajahan Kota Bharu dan Kuala Krai. Kawasan rondaan tersebut telah menjadi keutamaan pada hari ini, berikutan kedua-dua jajahan tersebut tidak menerima hujan selama/melebihi tujuh hari berturut-turut. Maklumat ini telah di salurkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menggunakan Fire Danger Rating System (FDRS). FDRS adalah sistem yang memantau risiko kebakaran hutan/tumbuhan dan membekalkan maklumat tersebut dalam pengurusan kebakaran.
Penggunaan dron dalam Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (rondaan udara/dron) di lokasi yang mempunyai risiko terbakar telah dijalankan dan telah mengesan lokasi dengan kesan bakar.
Di bawah peruntukan Seksyen 29A (1) dan 29A (2), memperuntukkan larangan pembakaran terbuka iaitu tiada seorang pun boleh membenarkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis (termasuklah mana-mana tanah). Mana-mana orang yang didapati melakukan pembakaran terbuka, pelaku tersebut boleh didenda tidak melebihi RM 500,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya.