Penerangan
13 Mac 2023, Pasir Gudang : Satu operasi bersepadu antara Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor Cawangan Pasir Gudang bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Indah Water Konsortium telah dilaksanakan bagi mencegah gangguan operasi Loji Rawatan Kumbahan di Kawasan Perindustrian Iskandar Halal Park.
Pemeriksaan telah dijalankan ke atas sebuah premis yang disyaki melepaskan pembuangan sisa industri ke salur pembetungan awam. Hasil penguatkuasaan mendapati tiada penghasilan sisa industri atau pelepasan efluen secara langsung daripada premis. Walau bagaimanapun, arahan lapangan telah dikeluarkan ke atas premis untuk mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
Pasukan operasi juga telah menjalankan pemantauan di saluran paip pembetungan awam sekitar Flat Meranti, Masai bagi mencegah pelepasan kumbahan secara terus ke Sungai Masai. Operasi bersepadu ini adalah bagi memastikan tindakan secara bersama antara agensi berkaitan dapat diambil di bawah Akta masing-masing.