Penerangan
PERBANYAKKAN KEMPEN PENGUMPULAN E-WASTE DARI ISI RUMAH
KUALA TERENGGANU- Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dengan kerjasama, Pihak Berkuasa Tempatan dan Syarikat yang diberi lesen Kemudahan Pemerolehan Kembali dan Pengangkutan Bahan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-waste) dari isi rumah digalakkan memperbanyakkan program kesedaran komuniti seperti kempen kitar semula barangan terpakai.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Ramli bin Abd. Rahman berkata bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dari isi rumah ini dikategorikan sebagai buangan terjadual (Kod SW 110), di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Edaran maklumat kepada komuniti khususnya kawasan kediaman perlu bagi meningkatkan tahap kesedaran sekaligus mendidik mereka melakukan tindakan yang betul untuk menguruskan bahan buangan elektrik dan elektronik mengikut kaedah yang mesra alam dan selamat. Ianya sekaligus mengelakkan bahan buangan e-waste ini dilupuskan di tapak pelupsan sampah awam yang tidak sesuai dan boleh mencemarkan alam sekitar.
Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Kemaman (MPD) dengan kerjasama Syarikat Awie Metal telah melancarkan Program Kitar Semula E-waste pada 4 Mac 2023 (Sabtu), dan 18 Mac 2023 (Sabtu) bermula jam 9.00 pagi sehingga 1.00 tengahari bertempat di Pusat Niaga Paka, Berdekatan Marrybrown dan bersebelahan Tapak Pasar Minggu.
Pusat Sains & Kreativiti Terengganu dengan kerjasama Syarikat KT Wan Recycle juga memberi komitmen menganjurkan Program Pengumpulan Pengumpulan E-waste ini, sejak 19 Februari 2023 dan dijangka berakhir 15 Mac 2023 ini, katanya.
Antara contoh bahan buangan elektrikal dan elektronik adalah ; Televisyen,. Komputer Peribadi;. Mesin basuh;. Pendingin hawa;. Peti ais; Telefon bimbit; dan Lain-lain barangan elektrikal dan elektronik dari isi rumah
Orang ramai digalakkan hadir ke program seperti ini dalam menyokong Program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat Awie Metal dan Syarikat KT Wan Recyle bagi memupuk kesedaran berhubung kepentingan mengitar semula bahan e-waste ini.