Penerangan
319 KENDERAAN BERMOTOR DIPERIKSA DALAM OPERASI BERSEPADU JAS TERENGGANU BERSAMA IPD TRAFIK DUNGUN DAN MARANG
KUALA TERENGGANU, 1 MAC 2023: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu telah mengeluarkan sebelas Notis Arahan dan sepuluh kompaun kepada pemilik kenderaan dalam operasi pelepasan asap hitam di dua tempat berasingan di Dungun dan Marang dalam operasi 5 hari bermula 19 Februari 2023 yang lalu.
Pengarahnya, Ramli Abd. Rahman berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 319 kenderaan ketika dua operasi itu dibuat.
Menurutnya, kesemua kenderaan itu telah diperiksa secara visual dan sebelas daripadanya telah menjalani ujian meter asap.
"Notis arahan dan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Sehubungan itu, pemilik kenderaan berenjin diesel diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, seramai 7 anggota penguatkuasa dari Unit Kenderaan Bermotor JAS negeri Terengganu dan 8 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun serta daerah Marang terlibat dalam operasi tersebut.
Katanya, operasi itu juga turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Bermotor) 1987.
"JAS Terengganu akan meneruskan operasi seperti ini secara berkala untuk memberi kesedaran kepada pemilik kenderaan motor untuk sentiasa mematuhi pelepasan asap hitam melalui ekzos kenderaan mengikut spesifikasi yang dibenarkan.
"Ini kerana pelepasan asap hitam berlebihan berisiko memberi kesan buruk kepada kualiti udara dan seterusnya memberi kesan kepada kesihatan manusia serta alam sekitar," katanya.