Penerangan
OPS GEMPUR JAS TERENGGANU : PEMATUHAN PREMIS MENINGKAT
KUALA TERENGGANU – Tiga premis di negeri ini dikesan gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan Peraturan-Peraturan di bawahnya yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berbanding tujuh premis yang gagal semasa operasi yang sama Februari lalu..
Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, penurunan ini menunjukkan tahap pematuhan premis semakin meningkat.
Hasil Operasi Gempur yang diadakan oleh Jabatan ini selama lima hari bermula 12 Mac lalu di seluruh negeri melibatkan 13 anggota penguatkuasa JAS.
“Sepanjang operasi tersebut, kita telah memeriksa sebanyak 29 premis dan daripada jumlah itu, 26 premis didapati mencapai tahap pematuhan baik di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Effluen Perindustrian) 2009, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (UdaraBersih) 2014, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,
“Walau bagaimanapun tiga premis berada pada tahap tidak memuaskan dan kita telah mengambil tindakan terhadap mereka iaitu 27 arahan di lapangan (Field Citation), 2 syor kompaun, 3 notis arahan dan 1 kertas siasatan dibuka ,” tambah beliau lagi.
Menurut Ramli, tindakan diambil kerana kegagalan pengusaha premis mematuhi Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
Beliau berkata, premis yang tidak patuh telah diarahkan mengambil tindakan pembetulan dan pembaikan segera mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh JAS.
Katanya, pemeriksaan susulan ke atas premis-premis tersebut akan dibuat selepas tempoh arahan tamat dalam memastikan semuanya berada pada tahap pematuhan yang baik.
“JAS Terengganu sebagai Jabatan penguatkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan.
“Tindakan tegas dalam menangani premis-premis bermasalah dan mencemarkan alam sekitar di negeri ini diambil demi memastikan semua hidupan dalam persekitaran kita berada dalam keadaann sejahtera dan selamat ,” katanya.
#kementeriansumberaslialamsekitardanperubahaniklim
#jabatanalamsekitar
#jasterengganu
#alamsekitartanggungjawabbersama