Penerangan
22 MAC 2023, PAUH - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi menjayakan sambutan Hari Air Sedunia dan Hari Bumi. Tema "Accelerating Change" untuk sambutan Hari Air Sedunia tahun ini membawa maksud pemacuan perubahan yang perlu dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara bertepatan dengan tema Hari Bumi iaitu "Invest In Our Planet" .
Program Sambutan Hari Air Sedunia ini telah bermula dengan aktiviti penghasilan bebola tanah liat (mudball ) pada 9 Mac 2023 di perkarangan Surau UniMAP yang melibatkan para pelajar dan kakitangan UniMAP serta kakitangan Jabatan Alam Sekitar. Sebanyak 1000 biji mudball berjaya dihasilkan yang kemudiannya diperam selama dua minggu untuk memastikan pembentukan mikroorganisma berfaedah. Mikroorganisma ini dilaporkan berupaya merawat air yang tercemar melalui kaedah biologikal. Antara parameter pencemar yang boleh dirawat melalui penggunaan mudball adalah Pepejal Terampai, Ammoniakal Nitrogen dan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD). Kaedah mudball ini sesuai untuk air kolam, tasik serta air kawasan bertakung.
Kemuncak sambutan dan perasmian program telah diadakan pada 22 Mac 2023 bermula dengan aktiviti balingan mudball ke Tasik Alumni Kampus Alam UniMAP Pauh Putra oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Prof. Madya Ts. Dr. Che Zulzikrami Azner Abidin bagi mewakili Naib Canselor UniMAP bersama tetamu jemputan terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kakitangan UniMAP dan para pelajar.
Program turut dilengkapi dengan Forum Perdana Sambutan Hari Air Sedunia 2023 yang menampilkan barisan ahli panel terdiri daripada Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara, Ts. Khithob bin Ahmad, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis, Pn. Norasmah binti Ab. Rani, Penolong Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis, En. Airul Aswadi bin Abdullah dan Ketua Centre of Excellence for Water Research and Environmental Sustainability Growth (WAREG) UniMAP, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Haqi bin Ibrahim.
Turut diadakan sepanjang program berlangsung adalah pameran oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Perlis.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Universiti Malaysia Perlis di atas kerjasama yang diberikan dan semoga kerjasama yang terjalin akan berterusan demi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara untuk generasi akan datang.
#nrecc
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_mac2023