Penerangan
21 Mac 2023, Shah Alam, Selangor – Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dengan kerjasama Rakan Strategik Alam Sekitar iaitu Canon Marketing Malaysia (Canon) dan Canon Opto Malaysia telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Bumi 2023 Peringkat Negeri Selangor dan Pelancaran Buku “A Kids Guide To Save Planet Earth” di Auditorium Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ybrs. Puan Nor Aziah Jaafar S.I.S, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor.
Majlis ini telah dihadiri oleh Pegawai-pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Perpustakaan Awam Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Selangor, pegawai Canon, guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah. Semasa majlis tersebut, buku-buku ini turut dihadiahkan kepada sekolah-sekolah yang hadir.
Canon yang telah mengambil inisiatif mendekati Pengarang Nor Azhar Ishak untuk menerbitkan buku “A Kids Guide To Save Planet Earth” yang merupakan sebahagian daripada “Canon Young Readers programme”. Inisiatif Canon menerbitkan buku ini dilihat sangat bertepatan dengan tema sambutan Hari Bumi pada tahun ini dengan tema “Invest in Our Planet”.
Canon akan mengedarkan sebanyak 500 naskah buku tersebut kepada sekolah-sekolah di Negeri Selangor. Buku ini disasarkan kepada kanak-kanak dan ditulis dengan menggunakan ilustrasi yang menarik dan mudah difahami mengenai kesan kepada alam sekitar sekiranya manusia tidak menghargai dan menjaga alam sekitar.