Penerangan
5 MAC 2023, KANGAR - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis telah turut serta mengadakan pameran sempena meraikan Hari Bumi di tapak Pesta Angin Timur yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Mac 2023 bertempat di Kampung Sungai Padang, Simpang Ampat, Perlis.
Pesta Angin Timur Perlis sangat sinonim dengan aktiviti penanaman padi dimana ianya dilaksanakan selepas kerja-kerja menuai padi. Tanah bendang yang kering & keras dijadikan tapak untuk menjalankan aktiviti sukan dan permainan tradisi.
Antara aktiviti sepanjang pesta adalah seperti Pertandingan Deklamasi Sajak, Puisi Loghat Utara, 4x4 Bendang/ATV Bendang, Mengail Hasil Tanaman, Icon Jerami, Pukul Bantal, Malam Kerohanian -Perlis Berzikir dan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang lain.
Program kerjasama di antara Kerajaan Negeri Perlis serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini bertujuan mempromosikan dan menyemarakkan aktiviti kebudayaan tempatan kepada pelancong domestik dan antarabangsa sebagai salah satu produk industri pelancongan Negeri Perlis.
Turut diadakan sepanjang program adalah pameran oleh pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan NGO dan institusi pengajian tinggi diantaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perlis, Angkatan Tentera Malaysia, MADA, LPPKN, PTPTN, KUIPs, UniMAP dan banyak lagi bagi memberi informasi terkini berkaitan fungsi Jabatan masing-masing selain merapatkan hubungan dengan orang awam.
Majlis Perasmian Penutupan Pesta Angin Timur Perlis 2023 ini telah disempurnakan oleh DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, turut berangkat bersama DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda YAM Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis perasmian ini dimulai dengan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis menyempurnakan acara pelepasan pertandingan sukan rakyat iaitu Pertandingan Tangkap Itik, Pertandingan Menggagau Ikan dan Pertandingan Pukul Bantal.
Turut hadir bersama, YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis bersama isteri, YABhg Puan Najwa binti Othman, YB Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Haji Zepri bin Saad, Pegawai Kewangan Negeri serta YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.
#nrecc
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_mac2023