Penerangan
KUALA TERENGGANU, 15 Februari 2022: Program Penghijauan Negeri Terengganu dengan kerjasama rakan strategik syarikat ExxonMobil, bersama Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Marang, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu telah berjaya dianjurkan pada hari ini.
Program tanggungjawab sosial korporat syarikat ExxonMobil ini yang telah diadakan di Pantai Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu, Marang ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Tuan Haji Zuwislan Awang dan turut dihadiri oleh Pegawai Daerah, Tuan Haji Lizan Che Mat.
Sebanyak 100 anak pokok rhu telah berjaya ditanam. Program ini telah mendapat sambutan dengan 200 peserta hadir terdiri daripada ahli majlis, warga kerja Majlis Daerah Marang, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Selaras dengan usaha kerajaan melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang telah dilancarkan bermula dari 2021 sehingga 2025, Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu yang diwakili oleh Ketua Penolong Pengarah, Encik Mohd Norli Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, dengan kerjasama yang sedia terjalin ini, beliau optimis program ini telah mencapai hasrat dan objektif ditetapkan.
Beliau juga merakamkan penghargaan di atas komitmen dan sokongan pihak pengurusan Majlis Daerah Marang yang bersedia menjadi tuan rumah kepada program ini.