Penerangan
10 Februari 2023, MELAKA – Jabatan Alam Sekitar Ibu Pejabat dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka bersama-sama jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Melaka telah berkampung selama dua hari daripada 9 hingga 10 Februari 2023 di Ames Hotel, Melaka bagi menyertai mesyuarat bersama syarikat-syarikat yang terlibat dalam penambakan laut khususnya di M-WEZ. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh.
Mesyuarat bertujuan mendapatkan status projek secara terus daripada syarikat-syarikat penambakan laut yang terlibat dengan mendapatkan maklumbalas dan isu yang dihadapi bertujuan mencari jalan penyelesaian. Ini bagi memastikan perancangan Kerajaan Negeri yang meletakkan M-WEZ sebagai koridor ekonomik ikonik yang berperanan untuk memacu pembangunan ekonomi yang mampan bagi Negeri Melaka dan Malaysia tercapai. M-WEZ Malaysia sebagai pemaju ekonomi dalam menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan pilihan pelabur. Laporan EIA yang dirujuk bagi projek-projek penambakan laut yang tertakluk Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015 diproses oleh Jabatan Alam Sekitar samada tertakluk Jadual Pertama atau Jadual Kedua Perintah.
Diharapkan pembangunan yang dirancang akan dijalankan secara lestari bagi memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Negeri Melaka namun juga kepada kesejahteraan alam sekitar amnya.
#KementerianSumberAsliAlamSekitardanPerubahanIklim
#jabatanalamsekitar
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasnegerimelaka