Penerangan
KUALA TERENGGANU, 8 Februari 2023: Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu telah menerima kunjungan seramai 10 orang pegawai kanan Petronas GAS Berhad (PGB) bagi mengadakan sesi libat urus.
Sesi libat urus yang dipengerusikan oleh YBrs. Encik Ramli Abd. Rahman, Pengarah JAS Terengganu telah dimulai dengan sesi pembentangan profil syarikat PGB dan disusuli dengan komitmen PGB untuk mengadakan jalinan kerjasama bagi penganjuran program-program komunikasi, pendidikan dan kesedaran alam sekitar (CEPA-Comunication, Education And Public Awaness) di negeri ini.
Sesi ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah, Encik Zakaria Ahmad @ Mohd, Ketua Penolong Pengarah, Encik Mohd Norli Abdullah dan Ketua Cawangan Kemaman, Encik Wan Azwan Wan Omar serta pegawai pegawai kanan dan pegawai penguatkuasa bagi membincangkan isu pematuhan kilang-kilang di bawah PGB yang tertakluk di bawah peruntukan Akta Kualiti alam Sekeliling 1974.
Pada sesi terakhir libat urus ini, Tuan Pengarah JAS Terengganu mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan yang dizahirkan oleh PGB dalam meningkatkan kerjasama sedia ada bagi memantapkan lagi program-program CEPA yang mempunyai matlamat yang sama dalam melestarikan alam sekitar untuk kesejahteraan semua.