Penerangan
PEMERIKSAAN KENDERAAN PENGANGKUT BUANGAN TERJADUAL YANG DILESENKAN OLEH JAS NEGERI PERLIS
KANGAR, 2 FEB 2023 - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis telah berjaya melaksanakan sesi pemeriksaan kenderaan-kenderaan pengangkut buangan terjadual yang dilesenkan oleh JAS pada 01 dan 02 Feb 2023. Sesi pemeriksaan pada kali ini merupakan yang pertama daripada beberapa siri pemeriksaan yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Sebanyak 12 unit kenderaan pelbagai kapasiti telah diperiksa dengan penglibatan 11 orang pegawai penguatkuasa JAS Perlis. Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, dua (2) tawaran kompaun dan dua (2) notis arahan bawah Seksyen 48A, AKAS 1974 dikeluarkan.
Selain pemeriksaan peralatan dan papan kenyataan kecemasan di atas kenderaan, ujian pelepasan asap dari ekzos kenderaan turut dijalankan bagi memastikan pematuhan kepada had pelepasan ekzos yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Ujian pelepasan asap tersebut telah dijalankan dengan menggunakan 1 unit alat Smoke Meter Ten LPA. Had pelepasan asap yang dibenarkan dari ekzos kenderaan diesel yang sedang beroperasi di jalan raya adalah tidak melebihi 50 Unit Asap Hartridge (HSU) atau 50% kekaburan (opacity).
Pemeriksaan kenderaan adalah salah satu syarat yang perlu dijalankan oleh kontraktor pengangkut buangan terjadual setiap tahun sebelum kelulusan pembaharuan lesen dipertimbangkan. Orang ramai khususnya pemilik kenderaan diingatkan supaya sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.
#nrecc
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_feb2023