Penerangan
KUALA TERENGGANU, 30 JANUARI 2023- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, Majlis Daerah Hutu Terengganu (MDHT) dan Syarikat KT Wan Recycle telah mengadakan program pengumpulan E-Waste secara kerjasama di Pasar Tani Kuala Berang pada Sabtu lalu, 28 Januari 2023.
Komitmen berterusan Pihak Berkuasa Tempatan, JAS Terengganu dan Syarikat KT Wan Recycle ini dalam melaksanakan program pengumpulan e-waste daripada isi rumah adalah untuk membantu masyarakat menguruskan e-waste yang telah rosak dan tidak boleh digunakan lagi ini secara betul dan selamat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Sejumlah 1,154 kg (1.145 tan) e-waste telah berjaya dikumpulkan. Maklumbalas daripada orang ramai yang hadir pada hari ini sangat positif dan masing-masing menyatakan agar program ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang.
Selain itu juga, orang awam yang hadir pada program ini berterima kasih atas usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh tiga agensi ini dalam memastikan pengurusan bahan buangan e-waste ini dapat dilupuskan ditempat yang betul demi mengekalkan kelestarian alam sekitar di negeri ini.