Penerangan
KUALA TERENGGANU : Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Terengganu telah mengeluarkan tujuh Notis Arahan dan tiga kompaun kepada sembilan pemilik kenderaan dalam dua operasi pelepasan asap hitam berasingan di Setiu dan Dungun, semalam.
Pengarahnya, Ramli Abd. Rahman berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 370 kenderaan ketika dua operasi itu berlangsung.
Menurutnya, kesemua kenderaan itu telah diperiksa secara visual dan enam daripadanya telah menjalani ujian meter asap.
"Notis arahan dan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Sehubungan itu, pemilik kenderaan berenjin diesel diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, seramai 12 anggota penguatkuasa dari Unit Kenderaan Bermotor JAS negeri Terengganu dan 20 pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu serta daerah Dungun terlibat dalam operasi tersebut.
Katanya, operasi itu juga turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan pelepasan pencemar gas EMAR GAS asap hitam yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.
"JAS Terengganu akan meneruskan operasi seperti ini secara berkala untuk memberi kesedaran kepada pemilik kenderaan motor untuk sentiasa mematuhi pelepasan asap hitam melalui ekzos kenderaan mengikut spesifikasi yang dibenarkan.
"Ini kerana pelepasan asap hitam berlebihan berisiko memberi kesan buruk kepada kualiti udara dan seterusnya memberi kesan kepada kesihatan manusia serta alam sekitar," katanya.