Penerangan
16 Disember 2022, Tangkak: Jabatan Alam Sekitar Cawangan Muar telah menjalankan siasatan aduan ikan mati di Mukim Gersik, Daerah Tangkak hasil maklumat yang diterima daripada Pejabat Perikanan Daerah Muar dan Tangkak. Lokasi aduan merupakan perusahaan ikan patin sangkar di tepi Sungai Muar.
Hasil siasatan dan pemerhatian di lapangan mendapati ikan yang mati adalah ikan patin yang dipelihara di dalam sangkar sungai. Tiada sebarang bau busuk atau kesan buangan bahan kimia dikesan dipinggir sungai. Tinjauan di sekitar tebing sungai mendapati tiada ikan sungai yang mati. Hanya ikan di dalam sangkar yang mati.
Pemeriksaan kualiti air sungai dijalankan dengan menggunakan parameter pH. Bacaan pH berada dalam keadaan normal dengan julat bacaan 5.5~6.0. Selain itu, bacaan parameter Dissolved Oxygen (DO) yang dicerap daripada stesen pengawasan kualiti air sungai automatik di Renchong menunjukkan bacaan berada pada paras normal (3.50 mg/l).
Siasatan dan tinjauan lanjut dijalankan di tebing alur air berhampiran lokasi sangkar ikan mendapati terdapat kerja pembersihan rumput di tebing alur air menggunakan racun dan disyaki menjadi punca kepada masalah ikan sangkar mati.
Pemantauan susulan akan dijalankan melalui sistem EQMP dengan mengambil kira bacaan kualiti air sungai melalui stesen berdekatan.