Penerangan
Bahagian Air dan Marin, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Ibu Pejabat telah menganjurkan Kursus Water Quality Modeling - WASP selama 4 hari pada 12 – 15 September 2022 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, Perak. Kursus ini adalah kesinambungan kepada kursus sebelum ini yang menggunakan perisian QUAL2K, tetapi pada kali ini peserta telah didedahkan dengan perisian Water Quality Analysis Simulation Program (WASP) sebagai alternatif pemodelan kualiti air yang boleh digunakan dalam proses penetapan Jumlah Maksimum Beban Harian (Total Maximum Daily Load, TMDL).5
Kursus ini yang telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Jamal Affendy bin Shahar, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Air dan Marin JAS Ibu Pejabat dan telah dikendalikan oleh beberapa orang pakar dalam bidang kualiti air.
Seramai 25 orang peserta telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada pegawai-pegawai JAS Ibu Pejabat dan JAS Negeri, Badan-Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri, dan Jabatan/ Agensi Kerajaan yang dijemput. Kursus ini turut melibatkan sesi amali persampelan kualiti air dan pengukuran sungai yang dijalankan di Taman Rimba Kledang Saiyong, Ipoh, Perak.
Objektif kursus ini adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan kualiti air dan alternatif pendekatan pemodelan kualiti air sungai ke arah penetapan jumlah maksimum beban harian (Total Maximum Daily Load, TMDL).