13 September 2022, Kuala Lumpur: Sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kuala Lumpur telah diambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) dalam Ops Sepadu yang dijalankan awal pagi ini. Ops Sepadu yang berakhir pada jam 4.00 pagi tadi melibatkan seramai 21 pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL), Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar (JKAS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK). Selain Penahanan Operasi Kelengkapan oleh JASWPKL, premis turut dikenakan kompaun dan arahan penutupan operasi oleh DBKL kerana ketidakpatuhan terhadap perkara yang berada di bawah bidang kuasanya.
Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) diambil terhadap premis ini bagi menghentikan serta-merta pelepasan efluen yang tidak terawat ke longkang awam daripada terus berlaku seterusnya boleh mengakibatkan pencemaran sungai. Selain itu, premis diarahkan untuk mengambil langkah pembaikan dalam tempoh POK tersebut. Persampelan rasmi efluen turut dijalankan dan akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. Jika disabitkan kesalahan, premis boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama suatu tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Pihak premis industri adalah diingatkan supaya sentiasa memastikan pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan dibawahnya. Tindakan tegas akan diambil JAS kepada pihak yang melanggar undang-undang alam sekitar.
Bagi sebarang aduan pencemaran, orang awam boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke
[email protected] atau ke portal aduan https://
[email protected] untuk melaporkan sebarang aduan mengenai pencemaran alam sekitar.