Penerangan
3 November 2022, Arau - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis telah mengadakan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) peringkat negeri Perlis 2022 dengan jalinan kerjasama dengan Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik (PPSUG), Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Cawangan Perlis. Program ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis diiringi Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri Perlis yang menjalankan tugas sebagai Pengarah JAS Perlis iaitu Puan Norasmah bt Ab Rani dan juga Rektor UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Bin Mohd Fauzi. Sambutan diadakan di Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Kampus Arau.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program berlangsung iaitu senaman Aerobic, KUDAH (Kutip Sampah Sambil Beriadah), Pengumpulan buangan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), Pameran Alam Sekitar, Pertandingan Mewarna peringkat Pra Sekolah, Geomatic Classroom dan Ceramah Kitar Semula & e-Waste. Semua aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk meningkatkan nilai tanggungjawab serta membantu dalam menjaga alam sekitar.
Dianggarkan seramai 1400 pengunjung hadir yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dari kalangan pelajar pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, Institusi Pengajian Tinggi, kakitangan universiti, agensi kerajaan, swasta dan komuniti setempat terlibat dalam semua aktiviti yang dijalankan.
Majlis perasmian dimeriahkan juga dengan simbolik penanaman pokok sumbangan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis sebagai tanda menggalakkan penanaman pokok bagi mengekalkan bumi yang hijau untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
JAS mengucapkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan semua agensi yang terlibat dalam penganjuran sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis pada kali ini secara langsung atau tidak langsung. Semoga jalinan kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang.
#kementerianalamsekitardanair
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_november2022
#uitmperlis
#harialamsekitarnegara2022