Penerangan
TANJUNG LANGSAT, 11 Oktober 2022: Sebuah premis berasaskan penyaduran logam telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana berlaku pelepasan pencemaran ketara.
Alat kawalan udara dan efluen di premis tidak berfungsi dan gagal beroperasi dengan baik serta terdapat kawasan proses pengeluaran beroperasi tanpa alat kawalan, juga buangan terjadual tidak diuruskan dengan betul di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan untuk mengambil tindakan pembaikan dalam tempoh POK tersebut.
Persampelan efluen dan bahan buangan terjadual telah dijalankan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
Seramai 10 anggota penguatkuasa dari JAS Cawangan Pasir Gudang dan JAS Negeri Johor telah terlibat dalam pemeriksaan ini yang bermula jam 10 pagi dan telah berakhir pada jam 1.00 pagi.
Semua premis industri adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar.