Penerangan
14 Oktober 2022, Shah Alam – Sempena Pra Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2022 Peringkat Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah menganjurkan Program Jelajah Permotoran Alam Sekitar ke Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor dengan kerjasama Rakan Strategik Alam Sekitar, Amita Berjaya Sdn Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Berhad. Puan Nor Aziah binti Jaafar, Pengarah JAS Negeri Selangor telah melakukan 'flag off' pelepasan bagi jelajah ini di Wisma Sunwaymas.
Seramai 30 orang peserta telah berlepas daripada Wisma Sunway Mas, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dengan menaiki motorsikal menuju ke Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor bagi mengikuti Program penanaman pokok berembang dan pembersihan sungai di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada 15 Oktober 2022. Pasukan jelajah ini turut berhenti di beberapa lokasi bagi menjalankan Kempen 'Plastic Busters' dengan mengedarkan beg kitar semula kepada orang awam.
Sejumlah 80 beg kitar semula telah diedarkan kepada orang awam semasa jelajah permotoran. Kempen ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap pengurangan penggunaan plastik dalam pemeliharaan alam sekitar melalui beberapa kaedah seperti menggantikan penggunaan beg plastik dengan beg yang boleh digunakan berulang kali.