Penerangan
24 – 25 September 2022, Kangar - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis telah menjayakan program Kem Kesedaran Alam Sekitar Dan Majlis Penganugerahan Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar Sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Negeri Perlis yang telah diadakan di Homestay Paya Guring, Pauh, Perlis.
Seramai 45 orang murid telah menyertai Kem tersebut yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah yang menyertai program penganugerahan Sekolah Lestari bagi tahun 2022. Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang kem berlangsung diantaranya aktiviti secara berkumpulan, ceramah, memanah, ‘envirowalk’ dan kutip sampah sambil beriadah (KUDAH). Penutup bagi program kem tersebut telah diadakan majlis penganugerahan sekolah lestari yang disempurnakan oleh YB Tuan Teh Chai Aan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Semua sekolah yang terlibat turut hadir bagi penerimaan anugerah tersebut.
JAS telah memperkenalkan Program penganugerahan sekolah lestari yang bertujuan untuk membentuk satu persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di sekolah. Penglibatan warga sekolah dalam aktiviti sekolah lestari ini memberi peluang kepada mereka untuk mengamal, menghayati dan membudayakan ciri-ciri mesra alam sekitar di persekitaran sekolah, rumah, komuniti setempat, masyarakat dan akhirnya di peringkat negara.
Tahniah di ucapkan kepada Sekolah Kebangsaan Kampong Salang Penerima Anugerah SLAAS Kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Alawiyah Penerima Anugerah SLAAS Kategori Sekolah Menengah dan para penerima Anugerah Khas iaitu Sekolah Kebangsaan Jejawi, Sekolah Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Malaysia Perlis, Sekolah Kebangsaan Santan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khoon Aik, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kong Hwa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau atas kejayaan merangkul anugerah dalam program SLAAS. Terima kasih juga di ucapkan kepada semua sekolah yang telah menyertai program SLAAS bagi sesi 2020-2022. Semoga usaha pihak sekolah dapat diteruskan pada masa akan datang supaya semangat cintakan alam sekitar tersemat di jiwa generasi muda dan seluruh rakyat Malaysia.
Setinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis, Bahagian Kerajaan Tempatan dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis atas kerjasama yang diberikan.
#kementerianalamsekitardanair
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_september2022