Penerangan
Kuala Terengganu, 24 September 2022, – YB IR Saiful Azmi bin Suhaili, Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau, juga merupakan ADUN Kemasik, telah hadir merasmikan Program Komunikasi, Pendidikan Dan Kesedaran alam Sekitar Bersama Rakan Alam Sekitar (RAS), Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022.
YB ADUN Kemasik, melalui ucapan perasmiannya, yakin program sebegini akan memantapkan dan memerkasakan pengetahuan peserta melalui penglibatan aktiviti-aktiviti dalam taklimat ekosistem bakau, aktiviti menyemai anak benih bakau; menanam bakau dan aktiviti KUDAH (Kutip Sampah Sambil Beriadah) di kawasan penanaman pokok bakau. Program ini juga turut meyemai rasa menghargai anugerah tuhan yang tidak ternilai untuk semua makluk di bumi.
Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, YBrs. Encik Ramli bin Abd. Rahman, turut hadir mengiringi YB bersama-sama 150 Ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) bagi menjayakan program ini yang diadakan di Pusat Pendidikan Alam Sekitar, ecoCare, Kertih, Terengganu.Sebanyak 270 anak pokok bakau dan 300 anak benih bakau telah berjaya ditanam
Dalam ucapan aluannya, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu. menyatakan kejayaan program ini adalah atas penglibatan Ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) sebagai kumpulan teras bagi pelaksanaan program ini.
Beliau juga turut mengakui penglibatan rakan strategik dalam berkongsi idea dan sumber turut menyumbang kepada pencapaian matlamat dan objektif penganjuran program ini oleh Jabatan alam sekitar Negeri Terengganu.
JAS Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB ADUN Kemasik, Pegawai Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, komuniti setempat dan Badan Bukan Kerajaan (NGOs) di atas kerjasama dan komitmen ini.
JAS amat yakin, program ini dapat memupuk kesedaran tentang penjagaan alam sekitar terutamanya kepentingan pemeliharaan ekosistem bakau dan kerjasama Rakan Alam Sekitar yang juga merupakan komuniti setempat terlibat secara langsung dalam program ini.