Penerangan
29 Ogos 2022, KLANG - Tiga (3) kilang haram iaitu kilang berasaskan kimia, kilang lerai buangan elektrik dan elektronik serta kilang proses tayar terpakai di sekitar kawasan Kg. Telok Gong digempur pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam. Kesemua premis telah dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran dan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan. Sejak seminggu lalu, aduan berkaitan pencemaran udara dan bau kimia oleh penduduk berhampiran menjadi viral di media sosial. Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta serta di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.