Penerangan
15 September 2022
Shah Alam, Selangor
Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dengan kerjasama Rakan Strategik Alam Sekitar iaitu syarikat Amita Berjaya Sdn. Bhd., Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Nestlé Products Sdn. Bhd. Nestle Malaysia telah menganjurkan Majlis Penganugerahan Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Sesi 2020/2022 Peringkat Negeri Selangor Sempena Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Selangor di Auditorium Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Teks ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Tuan Hee Loy Sian, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor telah dibacakan oleh Puan Nor Aziah Jaafar, Pengarah JAS Negeri Selangor bagi mewakili beliau.
Program yang telah memasuki kitar kelapan ini telah memperkenalkan Penganugerahan SLAAS Peringkat Negeri pada julung-julung kalinya. Dua kategori telah dipertandingkan iaitu Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah. Sebanyak 24 buah sekolah di Negeri Selangor telah menyertai sesi 2020/2022 ini dengan 12 buah daripada sekolah rendah dan 12 buah lagi daripada sekolah menengah.
Johan bagi kategori sekolah menengah ialah SMK Seri Keramat, Lembah Keramat dan Johan bagi kategori sekolah rendah ialah SK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. Kedua-dua sekolah ini telah membawa pulang plak, hadiah wang tunai berjumlah RM2000.00 dan hadiah iringan berupa hamper barangan makanan bernilai RM1000.00. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan sekolah-sekolah di Negeri Selangor yang menyertai. Sijil penyertaan dan hadiah saguhati turut diberi kepada semua sekolah yang menyertai.