Penerangan
KUALA TERENGGANU, TERENGGANU, 19 Ogos 2022 – Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu terus menjalankan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dan meronda bagi memantau punca-punca pencemaran di bawah bidang kuasa dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
OMPT dan rondaan ini melibatkan daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang iaitu bermula dari Wakaf Mempelam, Wakaf Tapai, Bukit Payung, Bukit Sawa, Ajil, Jerangau, Landas, Dendang, Che Lijah, Pulau Serai, Kuala Abang Jambu Bongkok, Pulau Kerengga, Kelulut dan berakhir di Chendering.
Hasil rondaan ini, tiada sebarang aktiviti pembakaran terbuka dikesan.
Walau bagaimanapun, pasukan penguatkuasa telah menemui longgokan kayu di kawasan Kuala Abang, Dungun. Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang sebagai usaha pencegahan agar aktiviti pembakaran terbuka tidak dilakukan.
Pemerhatian juga dilakukan di sekitar Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terenggan, tapak pelupusan sampah di Bukit Lat, Dungun dan penempatan kilang-kilang di Kawasan Perindustrian Wakaf Tapai, Marang dan Kawasan Perindustrian Ajil.Hulu Terengganu.
Hasil pemerhatian ini, tiada kes-kes yang mencurigakan dikesan.