Penerangan
Shah Alam
31 Julai 2022
Pegawai Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah menjalankan rondaan dan siasatan aduan di kawasan industri di Sepang, Sabak Bernam, Kajang, Telok Gong, Kawasan Perindustrian Pulau Indah dan kawasan revolusi hijau Johan Setia. Hasil rondaan dan siasatan mendapati tiada aktiviti pembakaran terbuka dan pencemaran oleh kilang-kilang di kawasan rondaan.
Sementara itu, semakan dan pemantauan berterusan telah dilakukan di lokasi kemalangan lori pengangkut minyak kelapa sawit mentah di Lebuhraya Elite susulan penutupan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi. Semakan mendapati lokasi kemalangan masih dalam kerja-kerja pembersihan oleh pihak PLUS dan kontraktor pengangkut. Semakan juga mendapati sisa-sisa minyak di tepi longkang telah dibersihkan. JAS Cawangan Sepang akan terus memantau di lokasi agar tidak berlaku sebarang kejadian luar jangka dan akan terus memantau kerja-kerja pembersihan.
Jabatan Alam Sekitar sentiasa memberi peringatan kepada orang awam mengenai tindakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melakukan pembakaran terbuka dengan denda tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM 2,000.00 juga boleh dikenakan di atas setiap kesalahan tersebut.