Penerangan
15 Jun 2022, IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak telah menjalankan Ops Gerak bersama Polis DiRaja Malaysia di Km 19, Jalan Lumut - Ipoh (Batu Gajah).
Dalam Operasi ini, JAS Perak telah menguatkuasakan kawalan pelepasan daripada kenderaan perdagangan berenjin diesel yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.
Sebanyak 99 kenderaan telah disaring melalui pemeriksaan secara visual dan hanya 37 kenderaan sahaja yang diuji menggunakan meter. Operasi ini telah mengeluarkan 10 kompaun kepada pemilik kenderaan atas kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 dan 11 notis Arahan Ujian Semula di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pemilik kenderaan yang tidak patuh.
Pemilik kenderaan adalah diingatkan supaya kenderaan berkeadaan baik dan mematuhi undang-undang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.