Penerangan
KUALA TERENGGANU, 21 Mei 2022- Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu bersama rakan strategik daripada Petronas Gas Sdn. Bhd, Syarikat Awie Metal Sdn. Bhd, Syarikat NKH Bio Solution Sdn. Bhd. dan Syarikat China Communication Construction (ECRL) Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan Program Komuniti Tanah Gambut.
Program yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Terengganu dengan tema: Invest in Our Planet” ini juga telah mendapat sokongan pelbagai Jabatan dan agensi serta masyarakat setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dr Haji Alias bin Razak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan iaitu lawatan ke lokasi Infrastruktur Tanah Gambut bagi tujuan Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut bersama komuniti setempat, taklimat peranan Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat serta demonstrasi uji cuba infrastruktur tanah gambut, kayuhan santai Hari Bumi (Earth Day Funride), pameran pelbagai Jabatan/Agensi, program pengumpulan buangan elektrik dan elektronik (E-Waste), program pengumpulan minyak masak terpakai, kuiz alam sekitar dan cabutan bertuah.
Antara intipati ucapan perasmian YB Exco, beliau optimis dengan penglibatan segenap lapisan masyarakat dalam program-program ini, terutamanya dari kalangan generasi muda memberi keyakinan bahawa usaha untuk mempertahankan persekitaran ini tidak sia-sia malahan kesedaran ini akan berkembang di kalangan masyarakat dan komuniti setempat.