Penerangan
JOHOR BAHRU, 11 Mei 2022: Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sembilan (9) kompaun berjumlah RM18,000.00 ke atas sebuah lagi kilang berasaskan kimia di Kawasan Perindustrian Senai III yang turut menyebabkan kepada berlakunya pencemaran di Sungai Skudai baru-baru ini sehingga menimbulkan fenomena buih putih.
Pihak kilang telah dikenalpasti melepaskan efluen daripada proses industri ke dalam ke alur air berdekatan tanpa sebarang sistem rawatan. Tawaran kompaun yang dikeluarkan ini adalah atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Pihak industri adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan yang ditetapkan di bawahnya. Tindakan tegas akan diambil oleh JAS jika berlaku sebarang pelanggaran akta yang mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan kesihatan orang awam.