KANGAR, 9 Mei 2022 – Sebuah premis pembuatan alkohol di Kawasan Perindustrian Bukit Ketri telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dalam satu siri penguatkuasaan susulan terhadap aduan pencemaran sungai yang telah berlaku.
Tindakan diambil berdasarkan bukti-bukti yang didapati melalui siri siasatan dan penjejakan yang telah dibuat di sepanjang Sungai Jernih, Sungai Chuping dan Sungai Ngulang.
Hasil siasatan mendapati sistem pengolahan efluen perindustrian tidak beroperasi mengikut amalan kejuruteraan yang baik sehingga menyebabkan efluen perindustrian daripada kolam takungan mengalir keluar ke longkang awam tanpa rawatan lengkap dan memasuki sungai berdekatan.
Pemantauan terhadap sungai yang terlibat masih dijalankan pada setiap hari dan tinjauan terhadap punca-punca lain yang boleh menjadi penyumbang kepada pencemaran sungai masih lagi diteruskan.
Jabatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang membantu dengan tampil mengemukakan maklumat berkaitan kes pencemaran ini.
Sebarang aduan berkaitan kes-kes pencemaran alam sekitar boleh dilaporkan di talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke
[email protected] atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my.
#KementerianAlamSekitarDanAir
#JabatanAlamSekitar
#JASPerlis
#AlamSekitarTanggungjawabBersama
#jasperlis_mei2022