Penerangan
8 Mei 2022, Shah Alam - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah menjalankan Ops Statik Bersepadu Khas Motorsikal bersama pelbagai agensi penguatkuasaan anjuran JPJ Negeri Selangor di lorong motorsikal Plaza Tol PJS2 (Taman Dato Harun arah Subang Jaya) bermula jam 8.00 malam hingga 12.00 malam.
JAS Selangor telah menjalankan penguatkuasaan bagi pematuhan ke atas Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motorsikal) 2003 dan Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Sejumlah 618 buah motorsikal telah disaring dan daripada jumlah tersebut sebanyak 32 buah motorsikal telah diuji. Daripada jumlah yang diuji, 16 Notis Arahan uji semula di bawah Seksyen 48A telah dikeluarkan. Penguatkuasaan bagi pematuhan ke atas Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 akan terus dipergiatkan agar pencemaran terhadap alam sekitar dapat dibendung bagi menjaga kelestarian alam sekitar.