Penerangan
BINTULU, 19 April 2022: Sebuah premis berasaskan penapisan minyak makan di kawasan perindustrian Tanjung Kidurong telah dikenakan Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dalam satu operasi Ops Gempur oleh Jabatan Alam Sekitar Cawangan Bintulu, Sarawak atas kegagalan sistem ‘valve’ beroperasi dengan baik dan tidak dapat mengawal tumpahan produk ke longkang awam yang telah menyebabkan pencemaran ke alur air perdekatan.
Susulan tindakan penahanan ini, pihak premis juga telah diberikan Notis Arahan untuk menjalankan tindakan pembersihan tumpahan dengan segera sehingga tiada kesan pencemaran ke persekitaran.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan sekiranya terdapat unsur pelepasan dengan sengaja, tindakan tegas akan diambil berlandaskan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Orang ramai boleh membuat sebarang aduan berkaitan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my/eaduan.