Penerangan
BINTULU, 12 April 2022: Sebuah premis berasaskan pembuatan aluminium di kawasan perindustrian Tanjung Kidurong telah dikenakan Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar Cawangan Bintulu, Sarawak atas kegagalan menyelenggara alat kawalan pencemaran udara “Bag Filter” dan sistem cerobong tidak berfungsi dengan berkesan yang telah menyebabkan pencemaran udara ke persekitaran.
Susulan tindakan penahanan ini, pihak premis juga telah diberikan Notis Arahan untuk menjalankan pembaikan ke atas Sistem Kawalan Pencemaran Udara dan menghentikan pencemaran dengan serta merta.
Semua pihak adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan-peraturan di bawahnya. Orang ramai boleh membuat sebarang aduan berkaitan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my/eaduan.