Penerangan
CERAMAH ALAM SEKITAR BAGI KESEDARAN PEMBAKARAN TANAH GAMBUT DAN PEMBAKARAN TERBUKA ANJURAN JAS NEGERI SEMBILAN
23 Mac 2022, Bandar Enstek – Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan telah menganjurkan ceramah alam sekitar bagi kesedaran mengenai pembakaran tanah gambut dan larangan pembakaran terbuka hari ini bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek.
Ceramah yang diadakan adalah bersempena sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek. Agensi lain yang turut menjadi rakan strategik program ini adalah SWM Environment Negeri Sembilan, Summit 2 Private School Seremban 2, SWCorp Negeri Sembilan dan Pertubuhan Generasi Peduli Sampah.
Program kerjasama agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan ini diadakan bertujuan mempromosikan dan memberikan pendidikan dan kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan mematuhi larangan pembakaran terbuka, tatacara pengurusan terbaik tanah gambut dan mempromosikan kepentingan teknologi hijau.
Ceramah telah disampaikan oleh Encik Mohd Amir bin Ismail, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan, JAS Putrajaya dan Puan Norlaili binti Othman, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan , JAS Putrajaya.