Penerangan
10 Februari 2022 – Kuching – Menteri Muda Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Yang Berhormat Dr. Hazland Bin Abg. Hj. Hipni telah melakukan lawatan kerja di pejabat Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan beliau telah menyambut baik kolaborasi JAS Negeri Sarawak dan NREB Sarawak dalam melaksanakan kempen-kempen pengumpulan buangan elektrikal dan elektronik (BEE) di seluruh Negeri Sarawak.
Sebanyak 12 aktiviti pengumpulan BEE secara berkelompok telah dirancang untuk tahun 2022 ini, merangkumi Bahagian Kuching sehingga Bahagian Miri melalui kontraktor-kontraktor yang dilesenkan oleh JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan berkaitan di bawahnya.
Bagi bulan Januari, Kempen Pengumpulan BEE telah diadakan dengan jayanya pada 25 hingga 28 Januari 2022 anjuran JAS Negeri Sarawak dengan kerjasama NREB Sarawak dan pihak kontraktor, DNS Waste Management Sdn. Bhd.
Kempen tersebut mensasarkan para kakitangan JAS Negeri Sarawak dan NREB Sarawak di pejabat masing-masing dan jumlah BEE yang telah berjaya dikumpul adalah sebanyak 678kg.
Pelbagai jenis BEE telah dikumpul, antaranya komputer, televisyen, periuk elektrik dan sebagainya.
Kempen ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para kakitangan untuk mengumpul dan menghantar BEE, tetapi secara tidak langsung menggalakkan usaha mengurangkan BEE yang boleh dikitar semula daripada dibuang di tempat pelupusan sampah.
"E-waste Dikitar, Bumi Terpelihara"