Penerangan
8 Januari 2022, ULU CHOH : Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti penyembelihan ayam yang terletak di Kawasan Perindustrian Ulu Choh telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana telah melepaskan efluen tanpa rawatan ke dalam longkang awam tanpa sebarang rawatan.
Susulan itu kilang terbabit diarah memberhentikan segala aktiviti penyembelihan secara serta-merta dan perlu mengambil langkah pembaikan dengan kadar segera bagi memastikan pencemaran yang berlaku dapat diatasi. Selain itu kompaun berjumlah RM 4,000.00 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
Pihak industri dan mana -mana pihak adalah diingatkan supaya sentiasa memastikan pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan dibawahnya secara konsisten sepanjang masa.