Penerangan
Kuala Terengganu, 22 Januari 2022 – Program Pengumpulan E-waste di Tapak Pasar Malam Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini mendapat sambutan luar jangkaan.
Berdasarkan jangkaan awal, sambutan hanya ‘biasa-biasa’, memandangkan program ini pertama kali dianjurkan di daerah ini, namun bilangan orang ramai yang datang sangat ramai.
YBrs. Encik Ramli bin Abd. Rahman, Pengarah JAS Terengganu yang hadir bersama-sama Timbalan Pengarah Encik Zakaria bin Ahmad di lokasi program berkata, berdasarkan sambutan diterima, program pengumpulan ini yang telah ditetapkan dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari terpaksa dilanjutkan sehingga 2.00 petang.Menurutnya, sehingga jam 3.00 petang, JAS Terengganu masih dihubungi oleh orang ramai untuk menghantar e-waste tersebut, Sejumlah 3.256 tan, berjaya dikumpulkan.
Beliau juga berkata Program kerjasama JAS Terengganu bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (Cawangan Kuala Nerus), Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Syarikat KT Wan Recycle menyasarkan pengumpulan e-waste dari kalangan penduduk sekitar Kuala Nerus dan sekitarnya.
Tambah beliau lagi “Sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai pada hari ini menunjukkan masyarakat telah sedar tentang e-waste yang mencemarkan alam sekitar, sekiranya dibuang ke tapak pelupusan sampah awam. Jika barangan ini dibakar, kandungan logam-logam akan bertindakbalas dan ianya akan menghasilkan bahan pencemar udara yang merbahaya kepada kesihatan”.
Pengarah JAS Terengganu juga memberi jaminan bahawa program ini akan diteruskan. dalam memastikan e-waste ini diuruskan dengan betul dan selamat, demi kesejahteraan alam sekitar dan seluruh hidupan.