Penerangan
Tarikh : 27 Januari 2022
Lokasi : Ampang Jaya
Ops Bersepadu Penguatkuasaan Kenderaan Diesel oleh JAS Selangor bersama Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah dijalankan di Jalan Ampang (Taman Dato Ahmad Razali) pada hari ini. Sejumlah 291 buah kenderaan berenjin diesel pelbagai jenis telah disaring sepanjang tempoh operasi berlangsung dan sejumlah 38 buah kenderaan telah diuji pelepasan asap. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 4 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Sejumlah 5 Notis Arahan di bawah Seksyen 48A, AKAS 1974 dan 2 Perintah Larangan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 disebabkan pelepasan melebihi 70% ketumpatan asap turut dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang terlibat.
Para pemilik kenderaan berenjin diesel diingatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, AKAS 1974.