Penerangan
KUALA TERENGGANU, 13 Disember 2021- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu dan JAS Cawangan Kemaman telah menjalankan penguatkuasaan melalui operasi lembangan sungai ke atas premis-premis yang tertakluk di bawah bidang kuasa JAS dan Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974.
Operasi yang bermula pada 5 hingga 9 Disember itu, yang melibatkan 6 pasukan dengan kekuatan 15 pegawai penguatkuasa telah berjaya menjalankan pemeriksaan ke atas 28 premis. Daripada jumlah tersebut, 3 kompaun dan 2 notis arahan telah dikeluarkan bagi kesalahan gagal menguruskan buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Satu kertas siasatan turut dibuka bagi kesalahan gagal mematuhi syarat lesen.
Sejumlah 28 “Field Citation (FC) telah dikeluarkan agar semua premis mengekalkan serta mempertingkatkan tahap pematuhan.
Operasi khas dalam penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ini telah memfokuskan kepada punca-punca pencemaran yang terletak di lembangan sungai terutamanya di kawasan hulu takat pengambilan air.
Pelaksanaan operasi lembangan sungai ini adalah bagi memantapkan imej JAS dalam penguatkuasaan ke atas jenayah alam sekitar. Operasi ini melibatkan pemeriksaan premis di lapangan untuk mengenal pasti sebarang aktiviti yang mencurigakan atau sebarang pelepasan pencemaran yang tidak normal di kawasan sasaran dan lembangan sungai yang dipilih.