Penerangan
KUALA TERENGGANU, 18 Disember 2021 - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu akan terus menyokong dan memberi kerjasama yang tinggi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pengurusan bahan buangan elektrik dan elektronik (E-Waste) di negeri ini.
Dengan komitmen yang tinggi daripada Majlis Daerah Marang dan kerjasama Syarikat KT Wan Recyle ini, telah berjaya menarik orang awam khususnya penduduk di sekitar daerah Marang bagi menjayakan Program Pengumpulan E-Waste yang pertama kali dianjurkan di daerah ini.
Program yang diadakan di Dewan Sivik, Bukit Payong ini, telah berjaya mengumpulkan buangan e-waste sebanyak 3.267 tan metrik. Matlamat utama penganjuran program pengumpulan buangan E-waste ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam akan tanggungjawab terhadap pengurusan buangan e-waste dengan cara yang selamat dan mesra alam, dan memastikan buangan e-waste ini, diuruskan dengan cara yang mesra alam mengikut Peraturan-Peraturan Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
E-Waste yang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah kod SW 110, Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh memberi kesan terhadap kesihatan sekiranya tidak diuruskan dengan betul dan selamat.
E-waste ini mengandungi kandungan logam berat seperti plumbum yang boleh mengakibatkan perkembangan otak terjejas, Berilium yang mana boleh menyebabkan kanser paru-paru dan penyakit kulit, Kadmium yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan hati serta kerosakan saraf dan lain-lain.
Sistem pengurusan E-waste yang sempurna selain dapat menjamin tahap kesihatan manusia, ia juga dapat memelihara bumi daripada pencemaran serta mengandungi logam berharga yang mempunyai nilai kitar semula yang tinggi yang boleh menjana ekonomi negara.