Penerangan
Perairan Pengerang & Sungai Johor, 13 Disember 2021 : JAS Cawangan Pengerang bersama Pasukan Polis Marin telah menjalankan pemantauan rondaan laut di sekitar Perairan Pengerang dan Sungai Johor meliputi Tanjung Buai bagi memastikan tiada sebarang pencemaran daripada aktiviti-aktiviti perkapalan terutamanya buangan atau tumpahan minyak serta mengesan punca-punca pencemaran lain di laut dan sungai. Selain itu, pemantauan ini juga dijalankan susulan aduan pencemaran yang diterima melibatkan kelong ikan di kawasan sekitar Tanjung Buai.
Hasil siasatan dan pemantauan mendapati tiada pencemaran ditemui semasa rondaan dijalankan. Hasil pemeriksaan susulan di kelong ikan juga mendapati kualiti air di kelong berada di paras normal berdasarkan pemantauan kualiti air menggunakan alat pengukuran air iaitu YSI dan pH meter.
Jabatan ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dengan aktiviti perkapalan agar tidak melakukan pelepasan minyak dan buangan ke Perairan Malaysia kerana perkara tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 27 dan 29, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 500,000 atau penjara tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya.