Penerangan
Kuala Terengganu, 29 Oktober 2021. Hari ini pegawai penguatkuasa telah menjalankan rondaan mencegah pembakaran terbuka dan memantau pencemaran ke atas punca-punca yang tertakluk di bawah bidang kuasa dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Rondaan ini telah dilakukan di daerah Kuala Nerus, Setiu dan Besut. Hasil rondaan ini telah menemui satu (1) longgokan pokok-pokok daripada aktiviti pembersihan tanah di Kg. Limbongan, Besut.
Banner larangan pembakaran terbuka dipasang di kawasan tersebut bagi mengingatkan penduduk sekitar dan pemilik tanah akan larangan pembakaran terbuka dan tindakan undang-undang di bawah bidang kuasa JAS dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dikenakan.
Siasatan ke atas aduan pembakaran terbuka di Kg. Banggol, Kuala Ibai didapati berasas dan individu terbabit telah diberikan amaran dan risalah larangan pembakaran terbuka.
Selain itu pemantauan ke atas premis industri telah dijalankan di Kawasan Perindustrian Gong Medang, daerah Besut dan Gong Badak, daerah Kuala Nerus. Pemantauan di kawasan Tapak Pelupusan Sampah di Kg. Air sejuk, Setiu juga turut dilakukan. Tiada sebarang aktiviti abnormal dan mencurigakan sepanjang pemantauan dijalankan.