Penerangan
PERLIS, 14 Oktober 2021- Kerja-kerja penguatkuasaan di bawah syarat-syarat kelulusan EIA telah dilakukan di tapak cadangan projek Perlis Inland Port di Lembah Chuping, Perlis. Pembangunan projek melibatkan pembangunan terminal pelabuhan darat yang akan menjadi hub logistik serantau yang penting di dalam komponen Pelan Induk Lembah Chuping.
Pasukan penguatkuasaan EIA bersama Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis, Encik Mohd Rosli bin Mohd Nor telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap tapak projek EIA untuk membuat pertimbangan permohonan penggerak projek bagi melanjutkan tempoh sah Laporan EIA yang akan tamat pada 30 Oktober 2021.
Tempoh sah kelulusan Laporan EIA adalah selama 2 tahun. Sebarang permohonan perlanjutan hanya boleh dipertimbangkan jika masih sesuai dan ada justifikasi kukuh. Antaranya tiada perubahan guna tanah sekitar ketara yang boleh menjejaskan kesesuaian projek dilaksanakan, tiada perubahan konsep projek serta projek masih relevan (merujuk Statement of Needs) untuk dilaksanakan.
Pemeriksaan ke atas tapak projek ini merupakan suatu elemen penting untuk membantu JAS menilai dan mengesahkan maklumat yang dikemukakan. Pemeriksaan ini turut disertai wakil pemaju dan juruperunding serta diiringi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2, Padang Besar memandangkan tapak projek ini terletak bersebelahan dengan sempadan Malaysia-Thailand.
JAS mengingatkan kepada semua penggerak projek EIA untuk terus komited terhadap usaha-usaha ke arah kelestarian alam sekitar dengan patuh kepada semua syarat EIA dan kehendak Akta 127 tersebut. Pemeriksaan dijalankan mengikut SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
#KementerianAlamSekitarDanAir
#JabatanAlamSekitar
#JASPerlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis2021