Penerangan
26 September 2021, WP LABUAN - Jabatan Alam Sekitar WP Labuan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran WP Labuan, Perbadanan Labuan dan agensi-agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menganjurkan Sambutan Hari Sungai Sedunia dan Denai Sungai Kebangsaan 2.0 Tahun 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang bertempat di Kampung Tanjung Aru Nelayan pada Ahad.
Sambutan ini diadakan bersama-sama penduduk Kampung Tanjung Aru Nelayan dan ahli - ahli Rakan Alam Sekitar bagi menghargai keperluan sungai sebagai salah satu sumber air bertetapan dengan tema Hari Sungai Sedunia tahun ini iaitu 'Alur Air Dalam Komuniti'. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Labuan, YBrs Dr. Fary Akmal Osman dan beliau juga turut bersama-sama penduduk Kampung Tanjung Aru Nelayan menanam pokok bakau di tebing sungai Tanjung Aru dan juga sekitar Pantai Tanjung Aru Nelayan pada hari itu.
Antara aktiviti lain yang disediakan pada hari tersebut adalah penanaman 100 anak pokok bakau dan gotong royong di kawasan sekitar Sungai Tanjung Aru dan juga Pantai Tanjung Aru Nelayan. Program selesai pada jam 11 pagi.