Kemaman, 17 September 2021. Pegawai penguatkuasa terus menjalankan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dan memantau pencemaran yang tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
Rondaan dan pemantauan ini melibatkan Kg Besut, Bakau Tinggi, Bukit Kuang, Teluk Kalong, Kijal, Bandar Chukai, Jakar 1, Jakar 3, Mak Lagam, Binjai, Pasir Minal, Mak Chili, Desa Solehah, Jabur Kubur dan Gong Limau.
Kawasan operasi ini melibatkan premis industri, kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka dan aktiviti pelupusan haram buangan terjadual. Tiada aktiviti yang mencurigakan dikesan dan tiada pembakaran terbuka ditemui.
Walau bagaimanapun pegawai penguatkuasa telah menjumpai longgokan sisa belukar/pokok ditepi Jalan di Kg Pasir Minal. Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang dikawasan berkenaan, sebagai usaha bagi mencegah aktiviti ini diteruskan.
Dengan pemasangan banner ini, orang awam akan peka mengenai kesalahan melakukan aktiviti pembakaran terbuka. Sesiapa yang melakukan aktiviti ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan kompaun maksimum RM2,000.00 bagi setiap kesalahan. Tindakan mahkamah juga boleh dikenakan dengan hukuman denda maksimum berjumlah RM 500,000.00 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
JAS Terengganu dan JAS cawangan Kemaman sentiasa menyeru orang ramai agar mengemukakan maklumat terperinci kejadian pencemaran dan aktiviti yang mencurigakan di bawah bidang kuasa JAS dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di portal aduan https://eaduan.doe.gov.my atau
[email protected] untuk tindakan lanjut pihak JAS.