Kuala Terengganu, 10 September 2021. Sepasukan pegawai penguatkuasa terus menjalankan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dan memantau pencemaran yang tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Operasi ini melibatkan daerah Hulu Terengganu , Setiu dan Kuala Nerus yang melibatkan kawasan Ajil, Kuala Brang, Setiu, Sungai Tong, Batu Rakit dan Gong Badak.
Kawasan operasi terdiri daripada penempatan kilang kelapa sawit, kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan. Hasil operasi ini tiada pembakaran terbuka dan kes-kes yang mencurigakan ditemui.
Walau bagaimanapun, pegawai penguatkuasa telah menjumpai longgokan sisa-sa pokok di kawasan tanah yang telah dibersihkan. Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang bagi mengingatkan penduduk sekitar dan pemilik tanah akan kesalahan melakukan aktiviti ini .
JAS Terengganu sentiasa mengingatkan kepada orang awam mengenai kesalahan melakukan aktiviti pembakaran terbuka. Kesalahan melakukan aktiviti ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A (1). Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan kompaun maksimum RM2,000.00 bagi setiap kesalahan. Tindakan mahkamah juga boleh dikenakan dengan hukuman denda maksimum berjumlah RM 500,000.00 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
JAS Terengganu juga menyeru orang ramai agar mengemukakan maklumat terperinci kejadian pencemaran dan aktiviti yang mencurigakan di bawah bidang kuasa JAS dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di portal aduan https://eaduan.doe.gov.my atau
[email protected] untuk tindakan lanjut pihak JAS.